Sunday, July 18, 2010

RM54 juta untuk bekal elektrik di 30 kampung di Batu Danau

by Mastura Ismail (Utusan Borneo)
May 3, 2010, Monday

LIMBANG: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM54 juta bagi pembekalan elektrik luar bandar (PELB) melibatkan 30 buah kampung di kawasan Batu Danau.

HUBUNGAN ERAT: Elvis (empat kiri) menyerahkan cenderamata kepada Entri (tiga kanan) di pekan Medamit malam kelmarin. Turut kelihatan Hasbi (lima kiri) dan Paulus (dua kiri).
Menteri Muda Kemudahan Awam Sylvester Entri Muran berkata PELB tersebut akan dilaksanakan dari 2010 sehingga 2012 yang memberi manfaat kepada 2,406 rumah di kawasan berkenaan.
Jelasnya peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melaksanakan lebih banyak pembangunan kepada penduduk yang menetap di pedalaman.
“Pada masa ini kerajaan sedang berusaha membawa lebih banyak kemajuan di kawasan pedalaman terutama menyediakan kemudahan asas kepada penduduk.
“Dengan adanya kemudahan elektrik dan bekalan air bersih, ia menunjukkan penduduk di pedalaman tidak pernah dikecuali untuk menikmati keselesaan,” katanya ketika penutupan Karnival Makanan dan Permainan Tradisional Dayak di pekan Medamit malam kelmarin.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Maria Hasman dan Timbalan Residen (Pembangunan) merangkap pengerusi pengelola program, Elvis Didit.
Entri menambah kerajaan melalui pendekatan ‘gotong-royong’ akan meneruskan pembangunan kepada penduduk di negeri ini melalui kestabilan politik.
Jelasnya, selepas persempadanan semula kawasan di bahagian ini pekan Medamit kini berubah wajah dan menerima pelbagai kemajuan di bawah payung Barisan Nasional (BN).
“Atas dasar itulah, kerajaan akan meneruskan usaha secara lebih serius untuk membawa pelbagai kemajuan dan pembangunan di kawasan terpencil .
“Hari ini penduduk di Medamit ini juga dapat menikmati perubahan dalam tempoh lima tahun di bawah kerajaan BN yang menyaksikan lebih banyak kemajuan dilaksana,” jelasnya.
Dalam majlis itu Entri turut mengumumkan geran kerajaan berjumlah RM15,000 untuk program tersebut.
Terdahulu berucap merasmikan carnival berkenaan, Hasbi mahu hubungan dan kerjasama masyarakat pelbagai kaum di kawasan Medamit diperkukuhkan khususnya dalam menjayakan pelbagai program.
Hasbi berkata Nanga Medamit memiliki banyak keistimewaan termasuk perpaduan yang teguh dan keunikan makanan dan permainan tradisionalnya.
“Kita percaya penganjuran acara ini mampu memperkenalkan keunikan makanan dan permainan tradisional kepada generasi muda agar ia tidak pupus ditelan zaman.
“Justeru generasi sekarang perlu mempelajari dan mendalami keunikan yang terkandung dalam makanan dan permainan tersebut untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Dalam majlis sama Hasbi turut memperuntukkan RM10,000 bagi program serupa.

0 comments: