Monday, October 27, 2014

PBS bakal miliki bangunan sendiri dan Pusat Kebudayaan Bisaya

Sumber: Utusan Borneo, 27 Oktober 2014

LIMBANG: Persatuan Bisaya Sarawak (PBS) bakal mempunyai bangunan rumah kedai sendiri dan Pusat Kebudayaan Bisaya (PKB) yang menjadi mercu tanda sekitar 10,000 masyarakat Bisaya dalam menjana pembangunan ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik masyarakat minoriti itu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, kedai terletak di Lot 1634 berhampiran Restoran Musbee itu merupakan bangunan tiga tingkat merangkumi pejabat, pejabat untuk disewa dan aktiviti komersial di tingkat satu. Jelasnya, kemudahan bernilai lebih RM400,000 itu ditunggu sejak beberapa tahun lalu dan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 10 bulan pembinaan. Jelasnya, ia akan memberi keselesaan kepada persatuan dalam menjalankan pelbagai aktiviti. “Kami mahu masyarakat Bisaya lebih bermotivasi untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh meningkatkan taraf kehidupan mereka berbanding sebelum ini,”katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Rumah Kedai PBS di sini petang kelmarin. Turut hadir isteri Paulus Mary Sindang, Timbalan Residen Pembangunan Limbang Selamat Jati Yanjah, Naib Presiden PBS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pejabat PBS Peter Sawal, Temenggung Yussin Bunjok, Pemanca Nicholas Buyok dan ahli jawatankuasa tertinggi PBS. Dalam pada itu, Paulus menjelaskan bahawa PKB yang kini sedang rancak dibina bernilai RM1.5 juta juga menjadi mercu tanda dalam memelihara kebudayaan dan tradisi kaum Bisaya yang terletak di Batu Danau, Limbang. Jelasnya, fasa pertama pembinaan sudah siap sepenuhnya, manakala fasa kedua kini merangkumi pembinaan dinding, penempatan perabot serta kawasan parkir kereta. “Kami jangkakan PKB ini akan siap dalam tempoh enam bulan pembinaan,”katanya. PKB berperanan mempromosi keunikan budaya dan adat resam Bisaya di peringkat kebangsaan. Projek mega itu yang dirasmi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini akan memberi keselesaan kepada masyarakat Bisaya dalam menonjolkan keunikan adat resam suku kaum itu.